Tuesday, October 7, 2008

Persoalan PUASA ENAM

Puasa Sunnah :

1. Bilakah hari-hari yang disunatkan berpuasa? Hari-hari yang disunatkan berpuasa ialah :

1) Puasa 6 hari di bulan Syawal.
2) Puasa Rejab dan Sya'ban
3) 9 hari awal pada bulan Zulhijjah
4) 10 Muharram
5) Puasa hari Isnin dan Khamis
6) Puasa pada 13,14 dan 15 setiap bulan.

2. Apakah kelebihan berpuasa dalam bulan Rejab?
Bulan Rejab adalah antara empat bulan yang diharamkan umat Islam berperang di dalamnya, kerana ia adalah bulan yang dianggap mulia oleh orang-orang Arab sebelum Rasulullah s.a.w. Maka Islam datang mengekalkan pengharaman perang dalam bulan ini. Telah thabit dari Rasulullah s.a.w galakan agar umatnya banyak berpuasa pada bulan Rejab, kerana ia adalah bulan Haram. Namun, hakikat ganjarannya adalah rahsia Allah. Oleh tu, apabila seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab, dan bulan-bulan haram yang lain, janganlah lakukannya kerana mengharap sesuatu ganjaran.
Diriwayatkan juga oleh Baihaqi dan Ibn Asakir, dan dinukil oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Adzkar, bahawa Rasulullah s.a.w berdoa yang berikut apabila masuk bulan Rejab:Ya Allah! Berkatilah untukku bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah aku ke bulan Ramadan.
Inilah dua hadith yang thabit dari Rasulullah s.a.w berkenaan bulan Rejab. Selain dari itu, hadith seperti ganjaran puasa setahun, air sungai di Syurga yang bernama Rejab, dan sebagainya, tidaklah dapat dipastikan kesahihannya.
Pokoknya, apabila kita lakukan apa-apa amal, tidak kira bila, lakukan kerana Allah, dan bukan kerana

3. Apa itu puasa enam dan apakah ganjarannya?
Puasa enam adalah puasa selama enam hari, berturut-turut atau berpisah-pisah, di bulan Syawal. Niatnya adalah: Sahaja aku puasa enam esok hari kerana Allah Ta'ala.
Ganjaran puasa Ramadan yang kemudian diikuti dengan puasa enam adalah seperti berpuasa sepanjang tahun.

4. Haruskah seseorang itu puasa enam secara berturut atau boleh dipisah-pisahkan?
Puasa 6 hari di bulan Syawal boleh dilakukan berturut-turut atau dipisah-pisahkan.

5. Wajibkah seseorang itu puasa penuh di bulan Ramadan jika ingin menunaikan puasa enam di bulan Syawal?
Tiada larangan bagi seseorang yang tidak dapat puasa penuh di bulan Ramadan untuk menunaikan puasa enam di bulan Syawal. Akan tetapi, sebahagian ulama mewajibkan dia mengqadak semua puasa tersebut sebelum dia mula berpuasa enam, kerana qadak puasa adalah wajib, sedang puasa enam adalah sunat. Dan wajib didahulukan atas sunat.

6. Bolehkah seseorang itu puasa enam dan berniat sekali qadha' puasa Ramadan?
Ulama berselisih pendapat tentang qadha puasa Ramadan dan puasa enam, mana satukah yang perlu didahulukan. Ada ulama berpendapat bahawa wajib qadha dahulu sebelum puasa enam, kerana qadha adalah wajib dan puasa enam adalah sunat, dan wajib perlu didahulukan atas sunat.

Ulama lain pula berpendapat bahawa boleh puasa enam dahulu sebelum puasa qadha. Untuk jalan keluar, sekiranya seseorang itu mampu, hendaklah dia qadha puasanya dahulu sebelum puasa enam. Tetapi jika tidak mampu, maka boleh puasa enam dahulu.

Tetapi tidak dibolehkan niat puasa enam dan qadha sekaligus kerana wajib dan sunat tidak boleh disatukan dalam satu

7. Apakah hukumnya jika saya berpuasa pada hari Juma'at dalam bulan Syawal untuk menunaikan Puasa Enam?
Puasa enam sangat digalakkan dalam Islam. Ia boleh dilakukan berturut-turut atau berpisah-pisah harinya. Adab dan rukunnya adalah sama seperti puasa wajib.
Puasa sunat pada hari Jumaat adalah makruh dalam mazhab Syafii sekiranya ia tidak digandingkan dengan puasa pada hari Khamis atau hari Sabtu. Dalam erti kata lain, seseorang itu digalakkan agar berpuasa juga pada hari Khamis sebelumnya, atau hari Sabtu selepasnya. Ini adalah kerana hari Jumaat adalah hari perayaan dalam Islam, maka Rasulullah s.a.w tidak menggalakkan seseorang itu berpuasa pada hari Jumaat kecuali jika dia berpuasa pada hari sebelum atau sesudahnya.

8. Bolehkah seseorang itu berpuasa pada hari Sabtu sahaja tanpa berpuasa pada hari sebelum atau selepasnya?
Berpuasa pada hari Sabtu bersendirian adalah makruh, iaitu tidak disertakan puasa pada hari sebelum atau sesudahnya. Ini adalah kerana Islam menghormati agama lain, dan hari Sabtu adalah hari perayaan orang-orang Yahudi, sepertimana hari Jumaat adalah perayaan orang Islam, dan hari Ahad untuk orang Nasrani. Maka, Rasulullah s.a.w tidak menggalakkan kita berpuasa pada hari Jumaat sehingga Ahad jika tidak diikuti dengan puasa pada hari sebelum atau sesudahnya. Namun, puasa itu tetap sah.
Hukum ini adalah untuk semua puasa sunat, termasuk puasa enam Syawal.

9. Adakah dibolehkan berpuasa selepas 15 Syaaban?
Dibolehkan berpuasa selepas 15 Syaaban bagi mereka yang sudah terbiasa berpuasa, seperti puasa Isnin dan Khamis, atau ingin puasa qadak. Jika berpuasa mutlak sahaja tanpa apa-apa tujuan, maka ia makruh.
10. Benarkah orang yang tidak pernah berpuasa sunat dilarang berpuasa pada pertengahan hingga akhir Sya’ban?
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. bersabda: “Apabila telah sampai pertengahan Sya'aban, maka berhentilah puasa.”
Para ulama berselisih pendapat tentang hukum hadith ini. Sebahagian mengatakan bahawa hadith ini lemah. Sebahagian yang lain pula menerima hadith ini dan berpendapat bahawa hukum berpuasa selepas Nisfu Sya'ban adalah makruh sahaja, kecuali bagi mereka yang sudah terbiasa berpuasa, seperti puasa Isnin dan Khamis, dan juga mereka yang perlu membayar qadha' puasa Ramadan yang lepas.

11. Bolehkah diteruskan puasa sunat seseorang yang sentiasa terlupa melafazkan niat?
Puasa sunat boleh diteruskan walaupun seseorang itu terlupa berniat pada malam sebelumnya, selagi mana dia jatuhkan niat puasa sebelum waktu Zohor. Jika dia jatuhkan niat selepas waktu Zohor, maka tidak sah niat tersebut dan tidak sah puasa itu.

12. Bolehkah seseorang itu berpuasa pada hari ‘Asyura sahaja atau haruskah dia berpuasa pada kesemua sepuluh hari pertama bulan Muharram?
Adalah sunnah untuk berpuasa pada sepuluh hari pertama bulan Muharram. Walau bagaimanapun, dibolehkan juga untuk berpuasa pada hari ‘Asyura sahaja, dengan syarat ia tidak jatuh pada hari Sabtu.
Jika hendak berpuasa pada hari Sabtu, hendaklah diikuti dengan puasa pada hari Jumaat atau Ahad.

Monday, October 6, 2008

Puasa Dan Kesihatan

Puasa dan kesihatan :
Oleh Asmadi Abdul Rahman SMK Ade Putra, Melaka

Puasa menurut Islam bermaksud menahan diri daripada mengambil makanan dan juga minuman daripada terbit fajar sehingga kepada tenggelam matahari beserta dengan niat berpuasa.
Ibadah puasa tidak diamalkan oleh penganut Islam sahaja, sebaliknya umat-umat terdahulu dan agama-agama lain juga mengamalkan amalan berpuasa mengikut kaedah dan cara masing-masing seperti agama Yahudi dan Kristian. Namun begitu terdapat juga agama yang mengharamkan ibadah puasa kerana proses menahan diri daripada lapar adalah suatu yang menyeksakan.
Secara dasarnya kita dapati bahawa ibadah puasa ini merupakan amalan yang menyakitkan kepada sesiapa yang beramal dengannya. Dalam agama Islam sesuatu yang memudaratkan kepada penganutnya dikenali sebagai masyaqqah iaitu kesukaran atau kesusahan hendaklah dihindari.
Ini kerana Islam merupakan agama yang membawa konsep kemudahan dan keringanan dalam kehidupan umatnya dan bukannya membawa kesusahan dan kesukaran terhadap umatnya.
Dalam keadaan tertentu, walaupun pada dasarnya sesuatu perkara itu kelihatan susah namun ia adalah suatu taklif yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu seperti kewajipan dalam mencari rezeki.
Hakikatnya bahawa kesusahan dan kesukaran adalah suatu yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Begitu juga dengan ibadah perlu kepada pengorbanan dalam melaksanakan tuntutan tersebut. Antara ibadah yang memerlukan pengorbanan fizikal adalah ibadah puasa.
Ini kerana kita dilarang makan dan minum sama sekali setelah terbit fajar sehingga tenggelam matahari. Jika di Malaysia kita perlu menahan lapar dan dahaga lebih kurang 14 jam sehari. Satu jangka masa yang sebenarnya sangat panjang dan membebankan kepada pengamalnya jika dilihat dari sudut fizikalnya.
Namun begitu ibadah ini tetap dinanti-nantikan oleh umat Islam untuk melaksanakannya khususnya di bulan Ramadan bagi memperolehi ketakwaan dan keampunan Allah s.w.t.
Selain tujuan berpuasa untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t dan memperoleh keampunannya secara tidak langsung ibadah puasa juga mempunyai kesan yang sangat baik terhadap kesihatan umat Islam jika melaksanakannya dengan sempurna.
Hal ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis : Berpuasalah kamu, nescaya kamu mendapat kesihatan. (riwayat Al-Thabrani).
Sebenarnya jika kita kaji tentang ibadah puasa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat terdahulu hampir atau mungkin lebih 150 hari dalam setahun mereka telah berpuasa.
Antara puasa yang digalakkan oleh baginda s.a.w ialah puasa enam di bulan Syawal seperti mana sabdanya yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan syawal, seolah-olah berpuasa selama setahun. (riwayat Muslim).
Seterusnya ialah puasa hari Arafah kepada yang tidak menunaikan rukun haji. Abi Qatadah berkata, ditanya kepada Nabi s.a.w tentang puasa Arafah, maka baginda berkata: Diampunkan tahun lepas dan selebihnya.(riwayat Muslim).
Seterusnya puasa pada 9 dan 10 Muharam. Ibn Abbas meriwayatkan, Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berpuasa pada hari 10 Muharam dan memerintahkan berpuasa padanya. (riwayat Bukhari).
Terdapat juga puasa yang dituntut melakukan setiap minggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis. Daripada Aisyah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menuntut supaya berpuasa pada hari Isnin dan Khamis”. (riwayat Tirmizi)
Puasa yang dituntut dilakukan pada setiap bulan pula digalakkan melakukan pada setiap 13, 14 dan 15 haribulan Islam setiap bulan, selagi ia tidak jatuh pada hari yang diharamkan berpuasa.
Hal ini merujuk kepada sebuah hadis daripada Abu Hurairah: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah berpesan kepadaku dengan tiga perkara iaitu berpuasa tiga hari berturut-turut setiap bulan, mendirikan dua rakaat solat Duha dan mendirikan witir sebelum tidur. (riwayat Bukhari).
Walau pun puasa-puasa tersebut tidak diwajibkan kepada umat Islam tetapi dengan melakukan ibadah tersebut kita dapat menghampirkan diri dengan Allah s.w.t. dari sudut rohaninya, dari sudut jasmaninya kita akan mendapat kesihatan yang baik, seperti yang disebut dalam hadis di atas.
Terdapat kajian yang menyokong kebenaran hadis yang mengatakan bahawa berpuasa mendatang kesihatan kepada pengamalnya. Ini dibuktikan melalui kajian saintifik yang dijalankan oleh Universiti Sains Perubatan di Tehran.
Mereka dapati bahawa mengamalkan ibadah puasa tidak mendatangkan kemudaratan, sebaliknya puasa yang sempurna mampu menyebabkan masalah berat badan dan metabolisme lemak dapat diselesaikan.
Melalui ibadah puasa juga mampu membaik pulih sistem ginjal manusia. Satu kajian oleh Fakulti Perubatan Universiti Indonesia terhadap 43 orang golongan geriatric. Kesimpulan kajian menunjukkan pada puasa Ramadan akan berlakunya pembaikan fungsi ginjal pesakit geriatic dengan mekanisme yang belum jelas.
Kemungkinan growth hormone berperanan dalam proses pembaikan itu manakala pada minggu pertama dan pertengahan puasa Ramadan, penurunan fungsi berlaku.
Secara klinikal keadaan ini tidak merbahaya. Kemudian pada akhir puasa dan dua minggu selepas puasa terjadi pertambahan fungsi ginjal, bahkan lebih baik dari sebelum berpuasa. Menurut Prof. Madya, Mohd. Isa Abdul Majid dari Pusat Racun Negara USM, berpuasa mencegah diri daripada mengambil makanan selama hampir 14 jam membolehkan organ penghadaman seperti perut, usus, pankreas, kelenjar hempedu dan hati berehat daripada aktiviti pencernaan makanan.
Tambahan pula, organ hati dalam keadaan tiada bahan yang perlu dihadamkan akan berubah kepada lebih aktiviti pembersihan seperti menukarkan simpanan lelemak di dalam badan kepada bentuk penjanaan tenaga yang diperlukan oleh badan.
Selain itu, beliau berpendapat, ibadah puasa mampu menyelamatkan kesihatan perokok tegar. Ini kerana bagi mengurangkan beban bahan racun yang terkumpul dalam badan maka alternatif yang ada ialah mengurangkan kemasukan bahan racun yang terhasil daripada asap rokok ke dalam badan manusia melalui saluran pernafasan atau pemakanan.
Hakikatnya ibadah puasa merupakan suatu kaedah untuk melatih kita menahan nafsu daripada segala kenikmatan dunia ini. Dalam mafhum sebuah hadis Rasulullah s.a.w. menyebut sesungguhnya syaitan bergerak di dalam jiwa manusia melalui saluran darah yang mengalir dalam tubuh manusia.
Untuk memperlahan pergerakan tersebut hendaklah kita melakukan ibadah berpuasa supaya dapat menyempitkan saluran darah tersebut, secara tidak langsung mempunyai maksud tersirat dalam mengawal pergerakan syaitan yang sering mempengaruhi nafsu kita.

Wednesday, October 1, 2008

Salam Idul Fitri, Maaf Zahir & Batin

Assalamualaikum semua.....
Tahun ni kami tak pulang ke kampung untuk beraya. Teruk sangat belanja. Tiket pun dah dekat 4 ribu. Tak pe la, nanti cuti sebulan je lagi kami pulang. Raya Haji InsyaAllah kat sana la. Apa pun Raya kat sini tak kurang meriahnya. Ramai juga kawan-kawan yang dah macam saudara sendiri kat sini. kalau nak round seminggu pun tak habis....jom raya bersama kami di blog aje la.
Tahun ni tema kami ialah biru muda gitu. tak kisah la warna apa pun tapi dah biasa bertema begini. Ini dia untuk tatapan mak dan ayah, adik kakak kat semenanjung. Gambar ni di ambil pagi tadi. Lepas solat raya la. Ini lah keluarga kami.


Hari ni kita dok umah la dulu. Esok lusa baru ziarah penuh kot


Kesian juga kat budak2 ni. tak macam kami dulu. Raya dengan keluarga. Sekarang terpaksa la ikut abah dan ummie bertugas kat sabah yang tak tahu bila nak pindah semenanjung.....
Kat bawah ni pula haiqal dan hakim bersama kawan2 tadikanya. Ni kat kampung nelayan batu puteh. Jalan-jalan rumah member kat sini la.....

na....tu dia, ramai gak tetamu yang datang tadi. 5 keluarga sebelah pagi dan 2 keluarga sebelah petang. Jap lagi kami nak pi jalan2 pula kerumah Ahmad Sanusi...jap je lagi sekarang ni line tengah elok pula. Yang belum datang esok ada lagi....Nasi ?
Ni dia geng budak-budak ni, seronok la kalau dah jumpa tu. Tak makan apa-apa pun tak pe.Ni abah dan ummie.....


Ni gambar raya kedua ni....